MAC 2022

195,000 Peluang Pekerjaan Baharu Menjelang 2030


KUCHING: Sarawak menetapkan sasaran untuk mencapai enam matlamat dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 pada 2030.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata matlamat itu ialah mahu meningkatkan Pengeluaran Domestik Kasar (GDP) kepada RM282 bilion, mencatat perkembangan ekonomi enam hingga lapan peratus setahun dan mencipta 195,000 peluang pekerjaan baharu.

Katanya, selain itu Sarawak juga mahu meningkatkan pendapatan isi rumah sehingga RM15,000 sebulan, mengurangkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar serta menambah baik kecekapan kerja melalui data dan inovasi digital.

"Semua pihak terutama di peringkat ketua jabatan, setiausaha tetap dan pemimpin lain memainkan peranan penting dalam kejayaan negeri kita, ke arah mencapai matlamat bercita-cita tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Sesi Tertutup Bersama Premier Sarawak "Transformasi Melalui Perbualan", di sini, hari ini. Beliau diwakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Abang Johari berkata, kejayaan Sarawak menubuhkan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), pengambil alihan empangan hidroelektrik Bakun, penubuhan Petros, pengenalan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), penubuhan TVS dan sebagainya.

Katanya, ini bukan perkara yang mudah untuk diperoleh, justeru keyakinan dan keberanian mesti ada untuk melakukan perkara yang boleh mentransformasikan Sarawak.

“Begitu juga pemimpin perkhidmatan awam Sarawak mesti mempunyai keyakinan dan keberanian untuk memberikan yang terbaik kepada aspirasi negeri pada tahun 2030 nanti,” katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti